PENSEJARAHAN PAHANG: SUATU “VACUUM” YANG BELUM TERISI – Bahagian Kedua

Wan Daud mewarisi Seri Maharaja Perba Jelai daripada ayahandanya Wan Pahang b. Wan Muhammad (Tun Wok) selepas kematian ayahandanya pada 1857, manakala Wan Muhammmad (Wan Mamat) mewarisi gelaran Indera Maharaja Perba Jelai daripada ayahandanya Wan Ideris b. Wan Muhammad (Tun Wok) selepas kematian ayahandanya pada 1882. Walaupun gelaran Seri Maharaja Perba Jelai dan pusakanya ini tidak pernah dikenang dan dicatat sejarah, namun hakikat berhubung kewujudannya diakui pemegang kurnia Indera Maharaja Perba Jelai sebagaimana surat yang dinyatakan sebelum ini.

Wan Daud turut menerima gelaran Seri Maharaja Setia Raja dengan kurniaan air Lipis cucur ke Lipis hingga ke puncak air meleleh selepas tamat Perang Pahang pada 1863. Manuskrip Perlantikan Seri Maharaja Setia Raja, Wan Daud bin Wan Pahang bertarikh 16 Rejab 1280H bersamaan Hari Ahad 27 Disember 1863 masih tersimpan dengan sempurna, malangnya surat pembahagian pusaka Seri Maharaja Perba Jelai dan Indera Maharaja Perba Jelai bertarikh 1224H bersamaan 1809H telah tidak ditemui hingga kini.

Peminggiran sejarah Orang Kaya Haji berlaku apabila Orang Kaya Haji atau lebih tepat pemangku selepasnya serta pengikut-pengikutnya “dianggap” sebagai penentang atau pemberontak kepada Inggeris dan Sultan. Lantaran itu sejarah dan kisah hidupnya dianggap tidak penting lagi. Maka segala penceritaan yang bersumberkan beliau terus terpinggir dan dirasakan tidak relevan lagi bagi mengisi khazanah Sejarah Melayu. Sedangkan ada bukti menunjukkan bahawa “anggapan pemberontak” hanyalah isu yang diada-adakan bagi menutup beberapa isu besar yang berlaku sekitar tahun 1880-an terutama selepas perlantikan Wan Muhammad sebagai Maharaja Perba Jelai pada 1882.

Justeru penceritaan Sejarah Pahang dan Perkisahan Orang Kaya Haji menurut perspektif beliau, pengikut-pengikut serta keturunannya perlu diketengahkan semula untuk tatapan umum bagi menambah khazanah Sejarah Negeri Pahang khususnya dan khazanah Sejarah Melayu umumnya.

Sejarah Pahang khususnya berkaitan Kesultanan Bendahara Siwa Raja bergelora semula setelah reda agak lama. Kemunculan (Tun) Suzana bte (Tun) Haji Othman dengan bukunya yang bertajuk Mencari Sejarah Tun Mutahir bin Tun Ali, Bendahara Seri Maharaja (Pahang) 1857 – 1863 yang cuba mengupas dan menilai semula Sejarah Pahang, sedikit sebanyak menggegar kembali tiang istana Pekan. Ini ditambah lagi dengan publisiti yang agak meluas oleh media cetak di samping kerjasama mereka dengan Persatuan Sejarah Malaysia. Malah pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Pengarah Arkib cawangan Johor dan Melaka Puan Kamariah Ismail.

Setiap penulisan sejarah dibuat berdasarkan tujuan dan objektif yang tertentu. Ia juga bergantung kepada siapa yang menguasainya dan di pihak mana ia berada. Hakikat ini diakui sendiri oleh George Clark (1957) dalam bukunya The New Cambridge Modern History[1]. Namun tidak kurang juga yang menulis atas dasar akademik semata-mata yang ternyata amat memelihara etika penulisan sejarah itu sendiri.

Kita tidak menyalahkan penulisan seumpama ini kerana ianya dibuat setelah berhempas pulas mencari fakta daripada sumber-sumber yang mereka yakini benar. Bukan tujuan kita untuk menyatakan siapa yang benar dan siapa yang salah, atau untuk menentukan siapa yang berhak dan siapa yang tidak berhak dalam persoalan Kesultanan Pahang ini. Ini hanyalah sebagai satu contoh bagaimana manusia melihat sejarah dan penceritaan sejarah.

Apabila melihat konflik ini serta beberapa konflik lagi di dalam persejarahan Pahang, kita melihat seolah ada ”vakum” yang belum terisi dan banyak persoalan yang belum terjawab. Di sinilah mungkin sedikit sumbangan yang boleh dilakukan oleh Keturunan Orang Kaya Haji. Waris keturunan Orang Kaya Haji bersedia untuk berkongsi bersama pengalaman ini berdasarkan sumber yang diyakini benar yang dirasakan dapat menghuraikan beberapa persoalan yang dipertikaikan oleh kedua-dua puak keturunan tersebut. Malah usaha ini telah dirintis sejak sekian lama sebelum timbulnya isu yang bergelora ini. bersambung.....
______________________________
[1] George Clark, The New Cambridge Modern History, i, 1957, hal. xxiv-xxv.