ORANG KAYA HAJI DALAM KENANGAN

Pada tahun 1803M (1224H), Wan Pahang bin Tun Wok ( Wan Muhammad b. Tun Abdul Latif, Maharaja Perba Jelai I ) telah dikahwinkan oleh Sultan Johor-Linggi (Sultan Abdul Jalil) dengan Tok Meriam (Nama sebenar beliau mungkin Tun Mariam iaitu anak Yam Dipertuan Daing Celak). Hasil perkahwinan tersebut, antara tahun 1804 dan 1805 lahirlah seorang anak lelaki yang diberi nama Wan Daud b. Wan Pahang. Tinggallah beliau di Pahang untuk beberapa ketika.

Apabila beliau telah meningkat dewasa beliau telah dihantar ke Riau untuk mendalami ilmu agama daripada Imam Bonjor selama 20 tahun. Ini adalah sebagai persiapan menggantikan ayahanda beliau selaku Seri Maharaja Perba Jelai pemegang hukum syarak di samping Wan Ideris bin Tun Wok, Indera Mahajara Perba Jelai pemegang hukum adat. Pada penghujung tahun 1840-an atau awal tahun 1850-an, Wan Daud kembali dari Riau untuk menggantikan ayahanda beliau menjaga Kuala Kuantan. Semasa beliau di Kuala Kuantan, beliau telah menjadi Kepala Perang kepada 70 kepala tentera. Beliau hidup sederhana walaupun memiliki lombong emas di Bukit Selingsing. Justeru sifat pemurah dan dermawan beliau terutama kepada mereka yang akan berlepas ke Tanah Suci Mekah, beliau diberi gelaran Orang Kaya Haji.

Di era 1850-an Pahang dilanda Perang Saudara antara Tun Ahmad dan Tun Mutahir atas pertelingkahan merebut jawatan Bendahara Siwa Raja selepas kemangkatan ayahanda mereka Bendahara Siwa Raja Tun Ali.

Pada penghujung tahun 1850-an, Perang Saudara antara Wan Ahmad (Tun Ahmad) dengan Wan Mutahir (Tun Mutahir) masih berlarutan. Wan Daud pada awalnya tidak menyertai perang berkenaan. Beliau menganggap bahawa perebutan jawatan berkenaan telah diselesaikan bersama Sultan Abu Bakar Johor apabila jawatan Bendahara Siwa Raja diserahkan kepada Wan Mutahir dengan syarat dilantik Wan Ahmad sebagai Bendahara Muda selepas beliau.

Wan Daud hanya menyertai perang pada penghujung 1850-an atau awal 1860-an apabila berlaku pembunuhan terhadap bapa saudara sepupu beliau iaitu Wan Embung bin Tun Muhammad bin Tun Abdul Latif oleh salah seorang pengikut Tun Mutahir. Kepala jenazah Wan Embung telah dipancung dan diwar-warkan sebagai penderhaka. Di samping itu, rakyat di Tanah Hulu didenda 4 mayam emas atau anak isteri dirampas dan dijadikan tebusan. Rentetan itu , Wan Daud telah menyebelahi pasukan Wan Ahmad yang turut disertai oleh pasukan bapa saudara beliau Wan Ideris bin Wan Muhammad (Tun Wok) dan sepupu beliau Wan Muhammad bin Wan Ideris yang ketika itu bergelar Orang Kaya Setia Muda.

Pada tahun 1863, Perang Saudarapun tamat di mana pihak Tun Ahmad telah memenangi perang berkenaan. Atas sumbangan beliau dalam perang berkenaan, pada jam 2.00 petang hari Ahad 16 Rejab 1280H bersamaan 27 Disember 1863, Wan Daud bin Wan Pahang diberi gelaran Maharaja Setia Raja dengan anugerah air Lipis cucur ke Lipis hingga ke puncak air meleleh melalui watikah kurnia Bendahara Siwa Raja. Perlantikan ini telah diperkenankan oleh Sultan Abu Bakar Johor.

Sekitar penghujung tahun 1870-an, Pihak Inggeris telah datang ke Pahang bertemu pembesar Pahang bagi mengadakan mesyuarat dan perbincangan untuk mendapatkan persetujuan bersama kompeni Inggeris. Antara pertemuan yang penting adalah pertemuan pembesar tanah ulu bersama Sir Hugh Charles Clifford di sekitar tahun 1880-an. Melalui mesyuarat tersebut, Wan Muhammad (bergelar Orang Kaya Setia Muda) yang mewakili bapa beliau Wan Ideris telah bersetuju menerima pencen setiap bulan. Manakala Wan Daud yang mewarisi pusaka ayahanda beliau tidak bersetuju menerima pencen tetapi menggantikannya dengan cukai. Inggeris membawa keputusan mesyuarat dan perbincangan ini ke England untuk pertimbangan dan persetujuan Inggeris.

Atas perintah Inggeris, Wan Daud turut mendaftarkan tanah-tanah yang diperlukan beliau seperti lombong emas, sawah, ladang, rumah kediaman, kampung halaman dan sebagainya. Menurut maklumat yang diterima, sebanyak 10 kawasan telah didaftar oleh beliau dan digerankan oleh pemerintah Inggeris.

Beliau turut membina rumah kediaman baru di Budu bagi menggantikan tapak rumah beliau di Kuala Lipis yang dicadangkan untuk dijadikan kepala Negeri Pahang. Tindakan ini dibuat setelah menerima sepucuk surat daripada Sultan Ahmad (Menggunakan gelaran Sultan pada tahun 1882) memaklumkan hal yang demikian pada sekitar penghujung 1888. Dimaklumkan bahawa sekiranya kepala negeri ditukarkan ke tempat lain, maka hak pusaka di Kuala Lipis hendaklah dikembalikan kepada pewarisnya masing-masing. Beliau membina sebuah rumah baru di Kampong Tanjung Tualang, Budu yang dikenali sebagai Rumah Gedang.

Wan Daud juga dikatakan telah pergi bersama Tok Teh ke Johor menemui Sultan Abu Bakar di Istana Johor ( Muzium Negeri Johor Sekarang ) untuk menyerahkan surat persetujuan beliau dengan pihak Inggeris.

Apabila rumah berkenaan siap, beliau pulang ke Kuala Lipis untuk membuat persiapan berpindah ke rumah baru tersebut. Beliau meminta penduduk kampung untuk membantu beliau membawa segala kelengkapan, peralatan dan barangan beliau berpindah ke Budu. Peristiwa ini berlaku di sekitar penghujung tahun 1888 atau awal tahun 1889.

Tindakan mengumpul penduduk kampung ini telah digunakan untuk memfitnah beliau yang kononnya sedang mengumpul tentera dan penduduk kampung untuk menyerang Pekan. Kesempatan ini telah digunakan untuk membunuh Wan Daud Seri Maharaja Setia Raja yang kononnya atas arahan Baginda Sultan. Beliau difitnah sebagai gila, hilang akal, mengamuk dan mesti ditembak mati. Inilah yang dirakam oleh buku sejarah kita seperti yang diungkap dalam buku Sejarah Pahang karangan Haji Buyong b. Adil. Gugurlah beliau dengan tiga das tembakan. Pertama di buku lali, kedua di peha dan ketiga di dahi. Kisah sebenar berhubung punca dan alasan pembunuhan beliau tetap menjadi simpanan dan kenangan pahit waris keturunan ini.

Sebaik sahaja rebah, Wan Muhammad menerpa dan memangku beliau. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, beliau sempat berpesan kepada Wan Muhammad, “sekiranya aku meninggal, janganlah engkau kuburkan aku di Bukit Betong, kuburkanlah aku berdekatan kubur guruku di Tanjung Rambai”. Sesudah melafazkan kata-kata tersebut, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia lebih kurang 84 tahun.

Gugurlah seorang pahlawan yang setia kepada Raja dan sentiasa sedia membela agama, bangsa dan tanah air. Bersemadilah beliau di sana sebagaimana amanat sebelum kemangkatan beliau.